Search

LAPORAN PROGRAM AKTIVITI PELAJAR

PROGRAM : Explore Asli 2017

TARIKH : 7 Mei 2017

HARI : Ahad

MASA : 7.30 pagi – 6.00 petang

TEMPAT : Jungle School, Batu 12 Jalan Gombak

PENGENALAN

Program lawatan ini adalah sebahagian daripada aktiviti luar yang melibatkan pelajar Diploma Sepenuh Masa Ambilan 2015 UMCCed yang dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Pelajar UMCCed

LATAR BELAKANG

Program ini dijalankan bertujuan untuk memupuk kesedaran dan kepekaan terhadap alam sekitar. Ianya juga memberi peluang kepada para pelajar mempelajari tentang kehidupan flora dan fauna disamping menanam sikap tanggungjawab terhadap memulihara alam sekitar.

OBJEKTIF PROGRAM

1) Memberi pendedahan kepada pelajar tentang aktiviti luar yang mampu merangsang daya pemikiran di samping meningkatkan daya tahan dan inisiatif setiap pelajar.

2) Dapat membantu pelajar meningkatkan keupayaan fizikal dan seterusnya memastikan pelajar sentiasa aktif.

3) Memberi motivasi agar diri lebih berkeyakinan dalam perhubungan interpersonal yang akan membezakan mereka dengan pelajar lain sewaktu memasuki dunia pekerjaan.

4) Memberi peluang kepada para pelajar untuk mengikuti aktiviti eksplorasi alam semulajadi yang dapat memberikan kesegaran dan menghilangkan tekanan setelah berhempas pulas menimba ilmu.

LAPORAN PROGRAM

Program bermula seawal jam 7.30 pagi. Pelajar mula berkumpul di UM Sentral sebelum menaiki bas dan bergerak menuju ke Batu 12, Jalan Gombak. Program telah disertai oleh 35 orang pelajar diploma sepenuh masa ambilan 2015 dan diiringi oleh 2 orang staf Bahagian Perkhidmatan Pelajar.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 1 jam dan bas tiba di lokasi pada jam 8.45 pagi. Ketibaan disambut oleh jurulatih program iaitu Mejar (B) Tuan Kalam daripada pihak Jungle School. Beliau seterusnya memberikan taklimat ringkas pengisian program sebelum membawa pelajar ke kawasan aktiviti jungle school dijalankan. Dalam perjalanan beliau juga mengambil kesempatan membuat penerangan tentang spesis flora dan fauna yang masih terpelihara di dalam hutan dikawasan tersebut. Pelajar akhirnya tiba dilokasi yang terletak di sebelah sungai sebelum pembahagian kumpulan dijalankan. Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut tugas masing-masing di antaranya seperti kumpulan memasak, kumpulan mencari dan menyediakan tempat memasak dan kumpulan penyediaan peralatan.

Pelajar seterusnya dibekalkan dengan beberapa bahan mentah seperti ayam, ikan, beras, tepung dan beberapa lagi bahan bagi menyediakan jamuan tengah hari yang akan dimasak menggunakan buluh. Aktiviti gotong royong dijalankan bagi memastikan juadah tengahari dapat disediakan mengikut masa yang dijadualkan. Setelah selesai aktiviti tersebut, pelajar kemudiannya tidak melepaskan peluang untuk menyejukkan badan dengan mandi di sungai. Seterusnya, pelajar didedahkan dengan kemahiran menyumpit yang diwarisi oleh orang asli bagi mendapatkan bekalan makanan seharian mereka satu masa dahulu. Setiap pelajar tidak melepaskan peluang untuk mencuba dengan tunjuk ajar oleh jurulatih program.

Program berakhir pada jam 5.00 petang dan pelajar tiba di UM Sentral pada jam 6.00 petang.